Bahagian 1: Pandemonium

Ada pun sudah menjadi takdir lapan wira bahawa mereka digalas tanggungan untuk menjadi penghalang kepada kuasa yang bakal menamatkan dunia mereka. Mampukah mereka?...

My Photo
Name:

Gue penggemar ribena. Hiphip horei.

Wednesday, September 21, 2005

Dalila Kirana Di Sebuah Kota

Seorang gadis, di tepi gerai, di sebelah bangunan kerajaan, di dalam sebuah pasar, di dalam sebuah kota, di sebuah lembah, berhampiran persisiran laut, dalam sebuah dunia bukan dunia kita.

Lelaki tua di gerai tersebut sibuk menggoreng sejenis makanan yang datang dari buah bernama pisang dicampur dengan tepung dan telur. Sekali sekala dia melihat gadis kecil yang sedang duduk mencangkung melihat orang lalu lalang. Gadis itu tersengih-sengih melihat telatah orang ramai yang ada tidak memperdulikan kehadirannya dan ada juga memandang dengan pandangan sinis.

Gadis itu sekejap ketawa, sekejap terdiam, tapi masih belum lekang senyuman di bibirnya. Dia menarik nafas panjang-panjang. Melilau menatap panorama kota yang menjadi rencah hidupnya sejak dulu lagi. Di depannya terdiri pelbagai lagi gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai barang. Namakan sahaja. Mungkin sekali ada. Penjual-penjual sibuk menahan orang yang lintas sambil cuba sedaya upaya menarik agar membeli barang mereka. Tak kira lelaki, perempuan, anak muda, remaja atau apa sahaja, masing-masing sibuk dengan urusan tersendiri.

Itu bagai satu medan persembahan buat si gadis, melihat aksi manusia yang berbagai rencah. Dia melihat kebaikan, terus juga melihat kejahatan. Ia ada di situ. Di pasar tersebut.

Seorang lelaki yang berpakaian seperti salah seorang dari orang pemerintah singgah di gerai tersebut. Membeli makanan dari lelaki tua seperti kebiasaan sebelumnya. Dia memandang gadis tersebut. Menyapa dengan ramah. Kebiasaannya jua dia akan melihat gadis yang tak jemu-jemu duduk di tepi gerai tersbeut walhal tiada langsung kaitan dengan lelaki tua itu. Nak kata membantu, apa yang dia buat hanya pasif melihat orang ramai di situ sambil kadang kala menguyah makanan ehsan lelaki tua tersebut.

Pegawai kerajaan itu menyerahkan sebungkus kuih kepada gadis itu. Si dara terima dengan hati yang berbunga. Perut yang sudah berirama sejak tadi kini sudah pasti penuh. Peduli tidak akan turunnya darjat menerima sedekah sedemikian rupa.

Pegawai itu berlalu meninggalkan lelaki tua dan gadis itu meniti tangga besar masuk ke dalam bangunan kerajaan yang gah. Si gadis asyik mengunyah sambil mendongak melihat hasil empayar yang terbina sejak beratus tahun lalu. Satu simbol kekuasaan yang tiada taranya. Rakyatnya hidup makmur dengan nilai toleransi yang tinggi, saling muafakat walau berbeda agama, bangsa dan fahaman. Sering jua di gadis menghadiri majlis keramaian di tengah kota melihat tarian-tarian dari 3 suku berbeza diadun menjadi satu, tanda keharmonian yang begitu utuh.

Tiba-tiba dia tersenyum. Bagaimana semua itu menjadi topeng kepada nanah yang menjadi umbi pada kota tersebut. Dari mulut lelaki tua itu sendiri dia mendengar sumpah seranah maki hamun pada bangsa yang bukan darinya. Betapa bencinya dengan sesetengah sikap suku lain. Mula menggelar, mula melabel. Lelaki tua itu membebel di sebelahnya kerana tahu tiada orang akan percaya kata-kata si gadis merempat.

Lantas, kata si lelaki tua suatu ketika dahulu, tarian-tarian di tengah kota lebih kepada satu simbolik kuasa dan orang-orang di dalamnya yang tak tahu malu menggelarkan diri mereka masyarakat berbilang suku.

Hehehe...dia ketawa membuatkan lelaki tua tersentak hairan.

Gadis itu terhenti ketawa. Terpandanglah akan seorang lelaki muda yang lagaknya kusut berjalan kaki sambil menarik seekor kuda yang keletihan. Lelaki itu memandangnya dengan pandangan kosong. Dia berhenti. Menunjukkan loket ditangan menanyakan di manakah harus berjumpa dengan orang yang tahu perihal lambang yang tertera pada loket tersebut.

Gadis itu menggelengkan kepala. Lelaki tersebut beralih langkah.

Oh tidak, Oh tidak, tidak sama sekali kerana gadis tersebut kenal benar dengan lambang tersebut. Lambang yang ditatap setiap hari dalam sebuah bilik. Dia bingkas dan melemparkan senyuman kepada lelaki tua tersebut. Berlari menghilangkan diri di celah-celah orang ramai ke satu tujuan yang amat pasti.

Bersambung