Bahagian 1: Pandemonium

Ada pun sudah menjadi takdir lapan wira bahawa mereka digalas tanggungan untuk menjadi penghalang kepada kuasa yang bakal menamatkan dunia mereka. Mampukah mereka?...

My Photo
Name:

Gue penggemar ribena. Hiphip horei.

Tuesday, November 15, 2005

Amaran Yang Sia-Sia

Dia membuka mata. Sophia di sebelahnya tersenyum.
"Lena tidur nampak?"
Dia bangun menggosok mata. Entah kenapa terasa sebegitu nikmat dapat tidur di atas jerami yang bagai tilam empuk buatnya. Sementelah pula sudah seminggu dia hanya beralaskan tanah dan berbantalkan akar pokok untuk melelapkan mata. Kira pengalaman malam tadi bagai satu kenikmatan yang tiada taranya.
"Nah," Sophia menghulurkan roti.
"Dari dapur lagi?"
Sophia angguk, "Itu sahaja yang ada. Sarapan sudah habis. Saya pun bangun lambat hari ini."
"Lambat?"
"Ya, sekarang sudah hendak masuk tengah hari, mari!" Sophia menarik tangannya.
"Ke mana?"
"Ayah buat mesyuarat, mari kita tengok! Ada orang datang,"
"Orang datang? ayah? siapa ayah kau?"


----------------------------------------------------------------------------

"Nama?" soal pengawal di pintu masuk kota yang kelihatan agak kurang ajar. Keadaan amat sibuk di pintu masuk kota. Orang ramai keluar masuk dengan pelbagai urusan.
"Nama saya?"
"Habis tu takkan nama burung kau!" sergahnya merujuk kepada burung merpati yang hinggap di bahu lelaki tersebut.
"Nama saya Zach De Carabas, saya datang atas jemputan Permaisuri," dia menunjukkan surat jemputan yang tadinya tersimpan di dalam poket jubahnya yang berenda-renda tanda seperti dia seorang bangsawan dari keturunan yang baik-baik. Pengawal tersebut membaca surat jemputan itu dan serta merta air mukanya berubah. Sedar kini siapa lelaki yang berdiri di depannya.
"Maafkan saya tuan..."
"Tak mengapa," ujar Zach De Carabas lembut. "Cuma benarkan saya bertemu dengan Permaisuri dengan segera. Kita tak punya banyak masa"
Pengawal itu angguk. "Tora! Bawak pembesar ini bertemu dengan Permaisuri"
Seorang pengawal yang bergelar Tora datang lantas memandu Zach De Carabas, namun sebelum berlalu sempat juga Zach bersuara kepada pengawal tadi, "Ohh...nama burung saya Adia Ninavia Muluk," ujarnya sambil melontarkan satu senyuman.

-----------------------------------------------------------------------------

Spohia menarik Dia ke atas sebuah laluan yang membolehkan mereka melihat apa yang berlaku di Balai Rong Utama. Jelas terlihat Maharaja Farish Al Mashur duduk di singgahsana dikelilingi oleh menteri-menterinya. Orang yang paling dipercayai oleh Maharaja tersebut, Menteri Ipey Irfanus turut duduk disisi Maharaja. Keadaan tampak tegang membicarakan perihal Morena. Morena yang mereka tahu lambat laun akan tiba juga membinasakan Kota Awan Besar yang terbina ratusan tahun lampau.

"Morena..." Dia berbisik.
Sophia angguk. "Morena akan datang ke sini..."
"Kita harus keluar dari sini..."
"Pak Cik Ipey tentunya ada cara nak menghalangnya"
Dia diam. Cara?
"Tapi...loket itu...semacam tak berguna..."
"Kita tak boleh melawan Morena. Satu cara terbaik ialah dengan bersembunyi"

Sophia tidak sempat membalas kata-kata Dia bila tiba-tiba pintu besar depan Balai Rong terbuka. Melangkah masuk seorang lelaki tua yang berjubah gelap, tegap datang menghampiri Maharaja. Beberapa orang pengawal mula bergerak untuk menghalang lelaki tersebut namun Maharaja seakan mengenalinya, memerintahkan agar dia tidak di ganggu.

"Siapa itu?" soal Dia. Sophia sekadar mengangkat bahu, tanda dia juga tertanya-tanya apa gerangan berita yang dibawa oleh lelaki tua itu.

"Maharaja Farish!" lelaki tua itu bersuara setelah berhenti tidak jauh dari singgahsana Maharaja tersebut. "Sudah aku khabarkan pada tuanku tentang bahana ini lama dahulu, sudah aku beri amaran tentangnya..."
Pastinya lelaki tua itu bercerita tentang Morena.

"Ya, yang bijaksana Pendeta Muarleef." Menteri Ipey Irfanus bersuara. "Kami sesungguhnya amat berterima kasih dengan maklumat itu."
Pendeta Muarleef senyap, memandang semua yang berada di dalam balai rong itu. "Bukankah aku sudah beritahu bahawa Morena bakal tiba ke sini bila-bila masa sahaja lagi?"
"Tuan pendeta, terangkan sahaja apa maksud sebenar tuan pendita ke mari?" Maharaja Farish bersuara. "Tuan pendeta seolah-olah mengulang apa yang sudah diberitahu"
"Kalian semua semacam lupa, bahawa aku sudah beritahu untuk pindahkan semua rakyatmu keluar dari Kota Awan Besar!"
"Kenapa kami mesti keluarkan mereka semua?" Soal Maharaja Farish.
"Morena itu bakal datang, dan kalau kalian ingat yang kalian boleh selamat jika berlindung dalam kota ini, kalian semua silap!"
"Kami akan fikirkan cara untuk mempertahankan kota ini."
"Cara? tiada cara untuk Morena! Setiap saat kalian semua duduk di sini, maka semakin hampir kematian untuk semua rakyat Awan Besar!!!" Pendita Muarleef meninggikan suara.
"Tuan Pendita! Hendaknya tuan pendita kawal perasaan dihadapan yang mulia tuanku." Menteri Ipey menegah.
"Ini bukannya pertama kali Kota Awan Besar dilanda gelora." celah Maharaja Farish Al Mashur. Kota ini sudah berdiri lebih dari 500 tahun, segala api, badai, petir, semuanya sudah melanggar kota ini, tapi ia masih gah berdiri."

Pendita Muarleef mengetap gigi. Tahulah dia bahawa kedatangannya disini sia-sia belaka. Maharaja ini tidak mahu mendengar kata. Dia menghela nafas seraya terpandangkan Sophia dan Dia yang bersembunyi di tingkat atas balai rong.
Pendita Muarleef menggelengkan kepala. Tanpa sebarang bicara dia berpusing dan melangkah pergi dari situ. Tiba di depan pintu balai rong yang besar bentuk tubuhnya bertukar menjadi seekor burung helang dan pantas terbang dari situ.

Ada sesuatu yang membuatkan hati Sophia terganggu tatkala melihat pandangan itu. Sophia menarik Dia. "Ayuh!" Mereka segera berlalu dari situ. Dia menjenguk ke luar tingkap dan dapat melihat langit mendung sudah begitu dekat dengan Awan Besar. Hatinya dirundum gundah.
"Ayuhhh!"
------------------------------------------------------------------------------------

Sophia dan Dia masuk ke dalam rumah Ipey, menunggu lelaki tua itu habis urusan di Balai Rong.

Agak lama menunggu tatkala Ipey masuk ke dalam rumahnya seraya terpandangkan Sophia. Terus dia mendapatkan gadis itu dan memegang bahunya.

"Spohia...kau mesti pergi dari sini, sekurang-kurangnya ada waris tahta Awan Besar yang selamat...Kau mesti pergi, segera!"

Bersambung

Wednesday, September 21, 2005

Gerak Tari Morena

I
Dia terduduk di dinding bangunan dalam kota memikirkan di mana mahu tidur malam itu sambil mendongak melihat awan yang gelap.

II
Mereka sudah bersiap sedia

III
Raja Kota itu, Maharaja Farish Al-Mahsur dimaklumkan oleh Menterinya, Ipey Irfanus tentang kedatangan loket berukir yang ditunggu-tunggu.

IV
Bagai mengetahui, sebelah timur sudah gelap dengan langit bercahaya tanda kemarahan Morena sudah memuncak.

V
Makanya, makanya...
Bergeraklah 1000 bala tentera keluar dari kota lengkap dengan pakaian perisai masing-masing, dengan penuh tekad dikhabarkan bahawa mereka bakal berhadapan dengan musuh yang tidak pernah diceritakan oleh orang tua mereka sebelum ini.

Bergeraklah angkatan besar itu menuju ke timur, dimana Morena berada...

-----------------------------------------------------------------------------

"Kau...."
Dia mendongak.
"Lapar?"
Dia angguk.
"Nah...Saya ambil dari dapur. Tapi keras sikit. Roti lama mungkin,"
Roti dicapai dan gadis itu duduk disebelahnya. Betul, keras dan tak sedap.
"Kau..."
"Hmmm?"
"Kau tidur mana malam ni?"
"Sini?"
Gadis itu angguk. "Saya nampak kau jumpa pakcik saya tadi"
"Pak cik?"
"Pak cik Ipey, dia pak cik saya. Dia jaga saya"
"Ohh..."
"Nama saya Sophia, Kau?"
"Errr...nama aku..."

Brummmm....

"Alamak! Hujan, mari!" Sophia menarik dia. Sophia tahu di mana mereka boleh berteduh. Lagipun ini adalah kota kepunyaannya.
-----------------------------------------------------------------------------------

VI
Menjelang sinar di ufuk timur,
Tibalah angkatan perkasa,
Bertemu di lembah antara lembah,
Bersedia dengan aturan

Maka tibalah mereka,
Melihat kedahsyatan yang tidak pernah diduga,
Melihat kegelapan di depan mata,
Melihat kilat sabung menyabung,
Memanah bumi di celah-celah kabus,
Membahang cuaca,
Aduhai tiada mereka tahu,
Bahawa kedatangan itu bakal sia-sia,
Kerna disebaliknya, tiada mampu mereka bertanding,

Lagak Jeneral segala Jeneral,
Menjadi kepala menghunus pedang,
Menggenggam loket di tangan,
Konon saktinya menjadi sebutan,
Bahawa ia menjadi lawan Morena,
Buat Azimat seluruh bala,
Menjadi pelindung mereka yang bersekutu,

Berbaris mereka-mereka itu,
Menjadi satu aturan yang panjang,
Begitu juga di belakang mereka,
Berlapis-lapis bergerak perlahan-lahan,
Lantas erat senjata masing-masing,
Melangkah ke arah kegelapan itu,
Walau tahu di hati semua, ini adalah saat-saatnya
Bila bibir harus segera menutur,
Syahadah.....


---------------------------------------------------------------------------------------

"Ada kuasa?"
Sophia angguk, "Loket itu adalah loket yang menamatkan perang dunia 400 tahun yang lalu."
"Macam mana benda sekecil itu mampu melawan kuasa Morena yang tiada bandingannya?"
Sophia geleng, "Pak Cik Ipey ada buku, buku itu menerangkan perihal loket itu."
"Buku?"
"Ya"
"Jadi Buku itu sudah meramalkan akan kehadiran Morena?"
Sophia geleng lagi, "Tidak rasanya, buku itu cuma memberitahu tentang perihal loket itu"
"Err...jadi buku itu tidak beritahu langsung apa-apa mengenai Morena?"
Geleng lagi, "Pak Cik Ipey membuat andaian, bahawa, loket itu, yang dapat menamatkan perang 400 tahun dulu, jadi mestilah dia begitu berkuasa, yang mungkin dapat menandingi Morena"
"Mungkin...dan...ada buku itu ceritakan, iaitu dengan terperinci bagaimana perang 400 tahun dulu ditamatkan?"
Geleng juga
Dia mengeluh
"Sebenarnya saya pun tak berapa faham, tapi pak cik, ayah dan semua ahli kongres bersepakat tentang hal loket itu, saya cuma berharap betul telahan mereka".
"Bukan ke loket itu Pak Cik Ipey yang buat?"
Sophia angguk, "Ukiran diluarnya, Ya, Pak Cik saya yang buat. Tapi loket itu sudah wujud sejak dulu lagi. Dia serahkan kepada Pak Cik Ayuri, disembunyikan dari musuh."
"Kenapa musuh mahukannya?"
Sophia mengangkat bahu, "Mungkin nak gunakan untuk tujuan jahat"
"Jadi, awak percaya loket itu mampu kalahkan Morena?"
Sophia diam, bermain dengan bibirnya. "Saya percaya, Kau kena tidur. Kita tunggu sahaja hari esok"
"Bagaimana kalau tiada hari esok?"
"Esok akan ada..." Sophia mengukir senyuman lantas bangun meninggalkan Dia di kandang kuda itu. "Tidur dulu dan kita tengok esok, sama ada kita masih mempunyai 'esok...'
------------------------------------------------------------------------------------------

VII
Merpati putih itu terbang laju membelah langit malam. Dia harus segera menyampaikan berita itu. Sebelum segala-galanya terlambat.

Nun berdiri disebuah tebing tinggi seorang lelaki muda dan seorang lelaki yang amat tua.

Merpati itu hinggap di bahu lelaki muda, mula bersuara menceritakan perihal angakatan Kota Awan Besar yang kini sedang berhadapan dengan Morena. Merpati itu juga memohon maaf kerana beredar terlalu awal di sebabkan tidak tahan lagi melihat satu demi satu tentera itu hilang nyawanya dengan keadaan yang amat dahsyat sekali.

Lelaki tua itu tenang menerima khabar yang sebenarnya sudah diagaknya. Dia tahu tahap kebodohan Maharaja Farish dan menterinya Ipey Irfanus.

Dia mengarahkan kedua anak muridnya agar bergerak ke Selatan, ke sebuah daerah bernama Satria-Putra. Kalau Kota Awan Besar sudah memang pasti tidak dapat di selamatkan, sekurang-kurangnya mereka mesti menyelamatkan Satria-Putra.

Dan si guru tua itu berubah menjadi helang terbang ke Awan Besar, dengan harapan dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya satu nyawa...

Bersambung

Tutur Harapan (Kau Mesti Pergi)

Kalau hendak orang katakan, bahawa mereka sedang berhdapan dengan neraka, pasti tiada yang menidakkannya.

Itulah yang dihadapi oleh budak bernama Zen, bila dia mendongak sambil memegang topi panjangnya, di tengah-tengah jalan, bila melihat api yang begitu ganas marak memayungi ruang angkasa. Dia terpaku'.

Dia juga nyaris maut kalau bukan ditarik oleh gurunya yang lebih besar menjauhi api tersebut. Baru dia sedar apa yang sudah berlaku. Hilang sudah keterujaannya bila melihat sekeliling, orang ramai bertempiaran lari. Tidak ambil peduli akan perihal yang lain asalkan nyawa sendiri tidak melayang. Batu bata vertaburan, orang melayang ke sana sini dan bau daging terbakar jelas menangkap hidung.

Entah dari mana datang, tiada ribut, tiada tanda, tiba-tiba sahaja kota mereka diserang. Satu demi satu bola api menjunam jatuh menghentam bumi mereka. Zen dapat melihat gumpalan langit gelap yang tiba-tiba muncul di atas mereka, memuntahkan satu demi satu bebola api tersebut. Ianya terhenti kemudiannya, yang mana, pada anggapan mereka sudah reda. Namun tidak pula mereka tahu yang ianya akan menjadi lebih buruk. Jatuh pula satu demi satu jalur api terus memamah tanah mereka.

Juga hendaknya, satu demi satu bangunan megah di situ musnah. Sana sini api menjulang tinggi. Korban jiwa sudah tidak boleh dihitung lagi. Suara teriak bagai menjadi satu bunyi latar bergema disegenap sudut. Pemimpin kota sedaya upaya mengerah tentera bagi mengawal keadaan. Namun dia sendiri bingung. Apa yang perlu dia buat? Siapa musuh mereka? Bagaimana hendak mereka pertahankan kota itu dari corak serangan sebegini? Dan nyatanya kebingungan itu tidak lama buatnya kerana satu bola api tepat jatuh mengenainya membakar terus tubuh yang disertakan dengan teriakan ngeri.

Zen melihat semua itu. Zen juga takut. Bagaimana kalau dia turut menerima nasib yang sama. Dan iya! dia hampir menerima nasib yang sama ketika satu bola api yang besar menjunam jatuh ke arahnya. Mujur benar gurunya ada disitu. Bola api itu gagal membunuhnya. Pelindung cahaya dari gurunya membuatkan bola api itu pecah dan hilang di udara.

Zen terus di tarik masuk ke dalam sebuah kubu bawah tanah. Tuan Gurunya menyerahkan sesuatu dari dalam bajunya. Seutas uncang. Kata si guru, dia harus pergi, pergi bertemu dengan seseorang, yang mampu untuk menyelamatkan dunia.

Tapi Zen tidak mahu pergi. Dia tidak mahu meninggalkan gurunya. Dia rela mati di situ bersama gurunya.

Namun apakan daya, dia mesti pergi. Zen menggenggam uncang tersebut. Sejenis serbuk berwarna putih ditabur ke atas kepala Zen oleh tuan guru. Dan seketika kemudian dia hilang, pergi terus dari kota yang bakal ditelan oleh DIA. Dan pastinya Zen pergi membawa tugas yang amat berat sekali.


-------------------------------------------------------------------------------------

Lambang pada loket itu membawa lelaki asing ke sebuah bangunan kecil di sebelah pasar tersebut. Setelah puas ditanya ke sana kemari. Tidak disedarinya juga gadis yang ditemui tadi mengekori dari jauh. gadis itu tahu benar siapa yang bakal lelaki tersebut jumpa. Tahu benar dia siapa yang duduk dalam bangunan kecil itu. Tidak mahu pula dia dilihat oleh lelaki itu. Tidak mengapa, dia tahu jalan lain untuk masuk ke dalam bangunan itu.

Seorang lelaki tua membuka pintu yang diketuk berkali-kali.

"Datang tengah hari nanti, belum buka untuk tempahan," kata lelaki tua acuh tak acuh.

"Err...saya bukan datang untuk itu" Lelaki tersebut mengeluarkan loketnya. Ditunjukkan lambang tersebut dengan jelas.

Riak wajah lelaki tua itu jelas berubah walaupun cuba disembunyikan. Dia mahu mencapai loket itu namun segera ditarik oleh lelaki tersebut.

"Benarkan saya masuk!"

Lelaki tua itu mengetap gigi. Dia diam sebentar, memikirkan sama ada perlu atau tidak membenarkan lelaki asing masuk ke dalam. Namun loket itu harus segera dilihat, dikaji. Tiada pilihan lain lantas membenarkan kaki asing berjejak ke dalam.

"Nama aku Ipey," lelaki tua itu memperkenalkan diri setelah masing-masing berada di dalam. "dan loket itu adalah hasil buatanku."

Dia angguk. Melihat keadaan dalam bangunan kecil itu. Penuh dengan pelbagai barangan logam yang diukir dengan penuh teliti. Bersepah tidak disusun dengan teratur. Ada perisai, pedang, tembikar besi, meja, namakan apa sahaja barangan yang boleh dibuat dengan logam. Semua ada di dalam, di sana sini.

"Jadi awak ni tukang besi?"

Ipey mengalihkan perisai yang menghalang jalannya. Dia menoleh kerah dia. "Bukan. Aku bukan tukang besi"

Dia angguk perlahan-lahan. "Jadi, awak ni tukang jual barangan besi?"

Ipey menggelengkan kepala. "Bukan juga, dan aku berharap agar kau boleh serahkan loket itu kepada aku."

Dengan keadaan teragak-agak dia menghulurkan loket itu. Ipey meneliti dengan penuh minat. Dia mengeluh."Loket ini kepunyaan seorang lelaki yang hampir sebaya dengan aku. Namanya Ayuri. Aku dan dia kawan rapat." Ipey memandang Dia.

"Ayuri adalah ketua puak kami. Dia yang menjaga kami...." lelaki muda itu terhenti. "Sebelum dia mati, dia serahkan loket itu kepada saya, menyuruh saya ke Utara, ke kota ini dan berjumpa dengan awak..."

Ipey duduk. Matanya masih belum beralih dari loket tersebut.

"Morena! Mereka panggil Morena. Dia datang membakar tempat kami dengan bola-bola api..." sambung lelaki muda itu.

"Aku tahu apa itu Morena," pintas Ipey. "Musuh tak berjasad, diri tak berjiwa..." Dia melontarkan loket itu kepada lelaki muda tersebut. "Ada sebab kenapa Ayuri menyuruh kau menghantar kepada aku."

"Adakah loket ini adalah kunci kepada cara untuk menghalang Morena? Adakah kunci ini adalah satu bentuk ramalan yang telah lama tuan Ipey bayangkan? Adakah saya ini diberi tanggungjawab sebagai orang yang bakal menyelamatkan dunia?"

Ipey menggigit epal, mengunyah dengan laju sambil memandang lelaki itu. Selesai menguyah dia bersuara, dengan nyaring, "Kau ni merepek apa?"

Akhirnya, lelaki muda itu keluar dengan hati yang kusut. Dia sendiri akhirnya tidak pasti kenapa Ayuri mahu loket itu dihantar kepada lelaki tua yang kemudiannya sekadar meletakkan loket itu di dalam sebuah laci berhabuk. Dan dia bertambah resah bila memikirkan di mana harus dia tidur malam ini.

Tuan Ipey melihat lelaki itu berlalu pergi menerusi jendela sambil seorang perempuan muda yang dari tadi bersembunyi di dalam loteng datang menarik jubahnya.

"Morena wahai Sophia," ujar lelaki itu. "Apa yang pak cik bimbangkan semakin lama semakin teruk. Morena sudah hampir ke sini, bila-bila masa ia akan menghentam kota kita wahai Sophia."

"Kenapa dengan loket itu pak cik?" soal Sophia.

"Loket itu sahaja yang boleh membawa kita berjumpa dengan Morena, yang boleh menghalangnya dari terus membuat binasa."

"Jadi benarlah bak kata lelaki tadi?"

Tuan Ipey angguk. " Kecuali bahagian di mana dia ditakdirkan jadi penyelamat. Rasanya tak perlu ramai orang tahu. Pak cik ada calon yang sesuai untuk tugas ini. Buat masa ini, Sophia pulang ke istana dahulu. Pak cik ada sesuatu yang perlu diuruskan," Ipey tersenyum sambil mencubit pipi Sophia. Sophia angguk lantas berlalu dari situ.

Dan benarlah seperti kata lelaki tua itu, bahawa Kota tersebut sudah tidak punya banyak masa, dan sebenarnya, dunia sudah tidak punya banyak masa lagi...


Bersambung

Dalila Kirana Di Sebuah Kota

Seorang gadis, di tepi gerai, di sebelah bangunan kerajaan, di dalam sebuah pasar, di dalam sebuah kota, di sebuah lembah, berhampiran persisiran laut, dalam sebuah dunia bukan dunia kita.

Lelaki tua di gerai tersebut sibuk menggoreng sejenis makanan yang datang dari buah bernama pisang dicampur dengan tepung dan telur. Sekali sekala dia melihat gadis kecil yang sedang duduk mencangkung melihat orang lalu lalang. Gadis itu tersengih-sengih melihat telatah orang ramai yang ada tidak memperdulikan kehadirannya dan ada juga memandang dengan pandangan sinis.

Gadis itu sekejap ketawa, sekejap terdiam, tapi masih belum lekang senyuman di bibirnya. Dia menarik nafas panjang-panjang. Melilau menatap panorama kota yang menjadi rencah hidupnya sejak dulu lagi. Di depannya terdiri pelbagai lagi gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai barang. Namakan sahaja. Mungkin sekali ada. Penjual-penjual sibuk menahan orang yang lintas sambil cuba sedaya upaya menarik agar membeli barang mereka. Tak kira lelaki, perempuan, anak muda, remaja atau apa sahaja, masing-masing sibuk dengan urusan tersendiri.

Itu bagai satu medan persembahan buat si gadis, melihat aksi manusia yang berbagai rencah. Dia melihat kebaikan, terus juga melihat kejahatan. Ia ada di situ. Di pasar tersebut.

Seorang lelaki yang berpakaian seperti salah seorang dari orang pemerintah singgah di gerai tersebut. Membeli makanan dari lelaki tua seperti kebiasaan sebelumnya. Dia memandang gadis tersebut. Menyapa dengan ramah. Kebiasaannya jua dia akan melihat gadis yang tak jemu-jemu duduk di tepi gerai tersbeut walhal tiada langsung kaitan dengan lelaki tua itu. Nak kata membantu, apa yang dia buat hanya pasif melihat orang ramai di situ sambil kadang kala menguyah makanan ehsan lelaki tua tersebut.

Pegawai kerajaan itu menyerahkan sebungkus kuih kepada gadis itu. Si dara terima dengan hati yang berbunga. Perut yang sudah berirama sejak tadi kini sudah pasti penuh. Peduli tidak akan turunnya darjat menerima sedekah sedemikian rupa.

Pegawai itu berlalu meninggalkan lelaki tua dan gadis itu meniti tangga besar masuk ke dalam bangunan kerajaan yang gah. Si gadis asyik mengunyah sambil mendongak melihat hasil empayar yang terbina sejak beratus tahun lalu. Satu simbol kekuasaan yang tiada taranya. Rakyatnya hidup makmur dengan nilai toleransi yang tinggi, saling muafakat walau berbeda agama, bangsa dan fahaman. Sering jua di gadis menghadiri majlis keramaian di tengah kota melihat tarian-tarian dari 3 suku berbeza diadun menjadi satu, tanda keharmonian yang begitu utuh.

Tiba-tiba dia tersenyum. Bagaimana semua itu menjadi topeng kepada nanah yang menjadi umbi pada kota tersebut. Dari mulut lelaki tua itu sendiri dia mendengar sumpah seranah maki hamun pada bangsa yang bukan darinya. Betapa bencinya dengan sesetengah sikap suku lain. Mula menggelar, mula melabel. Lelaki tua itu membebel di sebelahnya kerana tahu tiada orang akan percaya kata-kata si gadis merempat.

Lantas, kata si lelaki tua suatu ketika dahulu, tarian-tarian di tengah kota lebih kepada satu simbolik kuasa dan orang-orang di dalamnya yang tak tahu malu menggelarkan diri mereka masyarakat berbilang suku.

Hehehe...dia ketawa membuatkan lelaki tua tersentak hairan.

Gadis itu terhenti ketawa. Terpandanglah akan seorang lelaki muda yang lagaknya kusut berjalan kaki sambil menarik seekor kuda yang keletihan. Lelaki itu memandangnya dengan pandangan kosong. Dia berhenti. Menunjukkan loket ditangan menanyakan di manakah harus berjumpa dengan orang yang tahu perihal lambang yang tertera pada loket tersebut.

Gadis itu menggelengkan kepala. Lelaki tersebut beralih langkah.

Oh tidak, Oh tidak, tidak sama sekali kerana gadis tersebut kenal benar dengan lambang tersebut. Lambang yang ditatap setiap hari dalam sebuah bilik. Dia bingkas dan melemparkan senyuman kepada lelaki tua tersebut. Berlari menghilangkan diri di celah-celah orang ramai ke satu tujuan yang amat pasti.

Bersambung

Morena O Morena

Dia sudah diberitahu lama, tentang ada wujudnya Dia. Harus dia mencari, bahawa Dia yang menjadi bahana. Dia sudah tahu. Dia diberitahu. Tatkala kecil duduk di depan unggun api mendengar kata cerita moyangnya. Tentang Dia yang membawa bencana.

Cuma tidak diberitahu, bahawa dia membawa nasib. Bakal mengemudi bala jiwa. Minta ingin bebas. Mahu menari lagak burung yang seakan tiada rasa gundah.

Pernah dia melihat, mereka-mereka menari seperti itu. Suatu masa ketika masih hijau. Tenang melihat berlari-lari di depan unggun. Seakan meraikan nasib hidup, tak berada tapi cukup sentiasa.

Alangkah rindunya diri, mengenang lukisan lampau. Terduduk di pohon hijau, bersama tunggangan setia, mengasihi rindu kepada yang telah pergi.

Oh kenapa? Oh kenapa?
Oh kenapa? Oh kenapa?
Oh kenapa? Oh kenapa?

Bukan hendak dirinya, tatkala mimpi bermain bagai hembusan nafas yang mesti. Teresak-esak, mengelupur di perbaringan. Melihat apa yang pernah dilihat, mendengar apa yang pernah di dengar, mengalami apa yang pernah dialami. Dia mahu lari, tapi buntu arah untuk lari. Mana? Mana?

Ayah! Api! Adik! Api! Ibu! Api!
Api! Api! Api! Api! Api! Api!

Dia bingkas. Mimpi yang cukup nyata. Lama cuba untuk menstabilkan diri, memaut keyakinan agar terus bertahan. Tersedar loket tergenggam di tapak tangan. Tanda arah yang harus dituju. Tanda permulaan untuk satu pembayaran keatas apa yang telah Dia lakukan.

Harus segera! Harus segera! Harus sekarang!

Mungkin nanti. Dan dia jatuh semula terlelap nyenyak sementara menunggu sinar berkunjung di waktu pagi.

Dan tatkala itu jua burung itu terbang melintasinya, melihat wajah orang yang diceritakan oleh orang bijak di hujung dunia. Melihat lelaki yang dikatakan bakal membawa sinar dan kegelapan.

Dan sesungguhnya burung itu melihat seakan dunia sudah tiada harapan lagi.

Bersambung

Pandemonium - Warna Yang Dingin (Epilog)

Dia angin. Dia juga pembawa celaka.

Kami berdiri di situ. Kami berdiri di landas yang tegak. Terus menatap wajah angin. Menilai cantik diri dicipta untuk dirinya. Menghakimi keganasan terus wujud satu persatu.

Dia tahu. Dia tahu dia jahat.

Dan kami tahu dia jahat.

Morena oh Morena. teras bayu melitupi Morena.

Keluh tiada gunanya. Kesah yang tiada makna. Tekad kami bahawa angin itu pembawa gelap. Tatkala hijau dan bulan mengambang, pastinya kami tahu ada yang kandas.

Dan ini buat permulaan...

Bersambung

Bahagian 1

Pandemonium